Jika ketika di zaman Rasulullah wafat, ada di kalangan para sahabat yang bangun menafikan malah sampai ke tahap untuk menetak sesiapa yang mengatakan baginda telah wafat.
Ketika Salman Rusdie, menghasilkan buku 'Satanic Versus' ramai di kalangan umat Islam seluruh dunia bangun menentang sehinggakan penulis berkenaan terpaksa memohon suaka politik di sebuah negara Eropah.
Apabila isu karikatur Nabi Muhammad s.a.w meletus, umat Muhammad bangkit di segenap pelusuk dunia melahirkan bantahan sehinggakan di Malaysia sendiri ramai berarak tanpa mengenal batas sempadan politik.
Dan tatkala, Rosnah Mat Aris celupar dalam rancangan 'Sensasi' TV3, bangun lagi orang-orang Islam menghenyak kiri dan kanan artis berkenaan.
Kini, parti Gerakan pula membuat kenyataan atau lebih tepat lagi usul biadap dengan gesaan untuk melucutkan jawatan Mufti Perak, Dato' Seri Dr Harussaini Zakaria.
Cuma yang agak menarik adalah; jika soal umat Islam digugah, ditindas, diperlekehkan dan disenda-temehkan di penjuru dunia; orang-orang Islam di Malaysia akan lantas bangun dengan tangkasnya sehinggakan ada yang menghunuskan keris sebagai simbol untuk mempertahankan maruah agama.
Namun, dalam isu Gerakan ini sejak tersiar 2 April 2007 di akhbar The Star (maafkan jika tersilap) sehingga kini penulis menunggu-nunggu reaksi daripada pimpinan Negara. Namun tiada seorangpun yang bangkit mempertahankan SS Mufti Perak itu. Semuanya hanya sibuk tentang persiapan untuk Pilihan Raya Machap. Jasa itu, jasa ini. Itulah yang diracau-racaukan oleh pimpinan Negara. Bahkan dilihat akhbar arus perdana seperti, Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Strait Times juga tidak langsung menyiarkan berita ini. Sepatah harampun tiada.
Malah, hari hingga saat tiada langsung kenyataan mengenai isu ini! Apakah media arus perdana telah 'black out' isu ini atas arahan atasan? Atau apakah memang media arus perdana 'buat bodoh' dan 'tidak ambil pusing' langsung?
Mana perginya, pemimpin Melayu yang kerap menghunus kerisnya selama ini? Di manakah kelantangan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (maaf; dalam kes ini ditujukan hanya pada Umno - mereka adalah ahli parti Melayu beragama Islam!).
Di mana pula sembunyinya Abdullah dan Najib yang menjadi pemimpin utama negara yang sentiasa lantang mengeluarkan kenyataan jika sesuatu isu tercetus di negara ini.
Dan ke mana pula perginya segala Mufti, Menteri yang menjaga soal agama Islam, jabatan-jabatan agama seperti Jakim, tokoh dan profesional Islam yang kerap muncul di dada akhbar serta ulama-ulama di dalam pentadbiran negara atau universiti-universiti awam? Mana Mufti yang sangat lantang mempertahankan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Mufti Perlis SS Dr Asri Zainol Abidin?
Tidak tercabarkah mereka semua? Apakah tidak berkesan langsung di hati mereka sebagai umat Muhammad betapa menyuruh MUfti dipecat sama ertinya dengan mempersoalkan kedaulatan agama Islam itu sendiri?
Jika masih membisu lagi ke semua pihak seperti yang disebut oleh penulis ini, maka tanpa pilihan lain; pihak yang masih lagi sayang pada Islam wajib untuk bangun.
Maka parti yang berorientasikan Islam seperti PAS dan badan-badan bukan kerajaan seperti Impak dan Teras dengan pertubuhan pelajar Islam di universiti-universiti tempatan wajib untuk bangkit melaungkan kemarahan kepada kebiadapan dan keceluparan Gerakan.
Gerakkan satu perhimpunan massa sama ada berarak, berhimpun atau menunjuk perasaan bagi melahirkan betapa umat Islam di Malaysia bersatu dan cintakan agamanya. Tunjukkan kesetiaan kita pada agama Islam dan Nabi Muhammad dan para pewarisnya.
Buktikan umat Islam bersatu. Biar Gerakan tahu, mencemuh dan merendahkan martabat ulama seperti Mufti sama seperti menghina Rasullullah dan Islam itu sendiri. Buat tuntutan agar pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan tindakan ke atas Gerakan kerana cuba merosakkan perpaduan di kalangan umat Islam dan membuat provokasi serta mencabul perlembagaan negara yang jelas mencatat bahawa Islam sebagai agama rasmi.
Bangunlah. Bangunlah para pendokong dan pencinta Islam. Kalau bukan kini bila lagi? Apakah kita rela melihat Islam terus diperhambakan dan diperlekehkan?
Atau baculkah kita dengan hanya berdiam diri atau 'tidur'?



No comments:
Post a Comment